السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحَمْدُ للهِ الَّذِي شَرَعَ لِعِبَادِهِ القَادِرِيْن، حَجَّ بَيْتِهِ الحَرَامِ، وَجَعَلَ الحَجَّ اَحَدَ اَرْكَانِ الإِسْلاَمِ، وَغَفَرَ لِمَنْ حَجَّهُ لَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ جَمِيْعَ الذُّنُوْبِ وَالآثاَمِ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِ لهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، المَلِكُ العَلاَّمُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ أَفْضَلُ المُرْسَلِيْن وَأَكْمَلُ اِلإمَامِ،
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ البَرَرَةِ الكِرَامِ وَهُدَاةِ الأَنَامِ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا وَفْدَ اللهِ بِالأَرْضِ المُقَدَّسَةِ، إِتَّقُوا الله َوَاعْمَلُوا الصَّالِحَاتِ وَاجْتَنِبُوا المُنْكَرَاتِ وَاذْكُرُوا اللهَ كَثِيْرًا فِي أَيَّامٍ مَعْلُوْمَاتٍ وَاشْكُرُوْهُ وَأَكْثِرُوا الَتلبية لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شَرِيْكَ لَك حَتَّى تَتَحَلَّلُوْا عَنِ اْلإِحْرَامِ,
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Bertaqwalah kepada Allah dengan melakukan amalan mulia serta menjauhkan segala kemungkaran, ingatlah Allah sebanyak-banyaknya dan perbanyakkanlah bersalawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di mana jua kita berada khususnya semasa menunaikan ibadat haji serta bersyukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaanNya,
Kehadiran kita di bumi Arafah pada hari ini adalah telah ditentukan Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang menjadi salah satu dari rukun Islam yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Basahkanlah lidah dengan menyebut sebanyak-banyaknya kalimah talbiyyah:
لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شِرِيْكَ لَك
Basahkan juga lidah-lidah kita, lembutkan hati-hati kita dengan Selawat kepada Baginda SAW, Zikrullah, Isthighfar, Berdoa, Bacaan Al-Quran serta amalan soleh yang lain, serta jauhkan diri daripada perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.
Pada hakikatnya inilah suatu permukiman kita dalam suasana perkhemahan tarbawiyyah, ruhiyyah, ilahiyyah rabbaniyah dalam menyempurnakan ibadat teragung warisan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Junjungan Mulia baginda Nabi Muhammad SAW. Ambilah kesempatan ini untuk diguna sebaik mungkin untuk menjana iman dan taqwa seterusnya beristiqamah menurut jalan petunjuk yang lurus. Insya Allah.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Sesungguhnya intipati Islam adalah pengorbanan. Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahu ‘anhum telah berjuang berhabis-habisan tanpa rasa jemu dan tanpa mengenal erti kalah dan berputus asa demi menegakkan agama suci ini dengan berbagai-bagai dugaan, kelaparan, keringat, titisan air mata dan darah.
Natijah daripada inilah, bangsa yang berpuak-puak dan bertelingkah dan sesat selama berkurun lamanya sebelum ini telah ditukar dan ditarbiyyah mengikut acuan Islam dan akhirnya menjadi umat yang satu. Cahaya hidayah islam, iman, taqwa dan limpahan rahmat telah menerangi seluruh alam sehingga hari kiamat kelak.
Ibadat haji melatih kita supaya bersatu haluan dalam meninggikan syiar Islam, berganding bahu untuk menegakkan agama Allah menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam sesama saudara Islam.
Ibadat ini membuktikan bahawa kita semua adalah serupa dan tiada bezanya. Kebersamaan ini lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa, menjadikan kita satu aqidah, satu iman, satu syariah, satu akhlak, satu qiblat dan satu tujuan.
Sabda Nabi SAW turut bersabda, mafhumnya :
“Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang satu jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain tidak tidur malam dan demam”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam mengerjakan ibadat haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai haji mabrur.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah;
"أَشْعَثَ أَغْبَرَ أَوْ شَعَثًا غَبَرًا"
Yang bermaksud : "Kusut masai dan berdebu"
Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan hidayahNya, ganjaran besar iaitu syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.
Setiap jemaah haji sama-sama mempunyai peluang yang amat luas untuk mendapatkan keredhaan, keampunan dan hadiah syurga tersebut, berusaha melepasi dan mengatasi ranjau serta rintangan yang tersedia menanti. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke arah kejahatan dan kemungkaran.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Mengimbau kembali peristiwa Wuquf di Arafah sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW pada hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun ke- 10 Hijrah. Baginda SAW juga telah membacakan Khutbah yang dikenali sebagai Khutbah Al-Wada’ di hadapan hampir 144 ribu jiwa manusia.
Antara kandungan khutbah yang merangkumi semua maksud itu jelas seperti mana yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW ialah:
1) Wahai manusia sila dengar apa yang bakal aku perkatakan ini. Aku tidak tahu adakah aku akan dapat bersamamu lagi selepas, ditempat ini dan selepas tahun ini untuk selamanya.
2) Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan dirimu telah terpelihara (diharamkan untuk sesiapa pun mengkhianatinya) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan di Bandar ini (Makkah dan sekitarnya)
3) Sesiapa yang memegang amanah maka hendaklah dikembalikan amanah tersebut kepada tuannya. Ingatlah segala amalan jahiliyyah telah berada di bawah tapak kaki (telah dihapuskan). Tuntutan hutang darah pada zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah yang pertama telahku batalkan ialah Ibn Rabi’ah bin Al- Haris yang disusukan oleh Bani Sa’ad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
4) Riba’ adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib, riba itu semunya terhapus.
5) Bertakwalah kepada Allah dalam soal wanita kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah. Mereka berkewajipan menunaikan tanggungjawab terhadap kamu dan kamu pula berkewajipan memberikan hak mereka yang berupa makan minum dan pakaian secara baik.
تًرَكتُ فِيْكُم أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُوا مَا إِن تَمَسَكْتُم بِهِمَا، كتاب اللهِ وسنتِي.
6) Aku tinggalkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu berpegang dengannya maka sesungguhnya selama-lamanya kamu tidak akan sesat, iaitu Kitab Allah dan Sunahku.
7) Hai Manusia sesungguhnya tidak ada nabi selepasku dan tidak ada umat lagi selepas kamu. Ingatlah maka sembahlah Tuhanmu, tunaikan solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadan, tunaikan zakat hartamu dengan penuh kerelaan jiwa, tunaikanlah Haji di rumah Tuhanmu dan taatilah para pemimpin yang mengendalikan urusanmu, nescaya kamu akan dapat masuk syurga Tuhanmu.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Nabi SAW telah mengakhiri khutbahnya dengan berkata :
Kemudian kamu semua bakal ditanya tentang diriku, maka apakah yang bakal kamu perkatakan? Kami menjawab : “Kami bersaksi bahawasanya tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu”
Kemudian Baginda Rasulullah SAW mengangkat tangannya ke langit seraya menurunkannya ke arah orang ramai lalu berkata sebanyak tiga kali Ya Allah! Saksikanlah, Ya Allah Saksikanlah, Ya Allah Saksikanlah.
Inilah juga pesanan terakhir baginda sebelum wafat. Selesai Rasulullah SAW menyampaikan khutbahnya, turunlah kepada Baginda ayat Al-Quran Surah Al-Maa’idah : Ayat 3
…الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينا ً…
Yang Bermaksud :
“ …pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama kamu…”
Tatkala Saidina Abu Bakar mendengar ayat tersebut itu dibaca oleh Baginda maka beliau pun menangis, lalu para Sahabat bertanya kepadanya : mengapa engkau menangis? Jawabnya : “Tidak ada selepas kesempurnaan melainkan akan datang kekurangan”
Begitulah gambaran yang jelas penghayatan dan betapa bimbang para Sahabat terhadap kesucian dan kesyumulan agama Islam dicemari. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kesempurnaan Islam itu dipelihara dengan sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat dan usaha ke arah meningkatkan taqwa kepada Allah.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Ibadat haji yang kita sedang lalui pada saat dan tika ini adalah sebagai medan untuk mengukur taqwa seseorang. Ini dapat kita rasai semenjak kita keluar dari rumah di tanah air hingga kini berada di Arafah, seterusnya ke Muzdalifah, ke Mina melontar jamrah, bercukur atau bergunting dan seterusnya Tawaf dan Saie.
Amalan haji perlu dilaksanakan dengan penuh iman dan taqwa, lakukan dengan sebaik-baiknya tanpa rungutan, tanpa banyak keluh kesah dan tidak menyakitkan serta menyusahkan orang lain. Setiap masalah perlu diatasi bersama dengan penuh hikmah dengan menolak sikap mementingkan diri sendiri.
Ketika ini, tergambar akan gambaran kehidupan di alam akhirat kelak. Walau betapa tinggi pangkat darjatnya, walau betapa banyak harta kekayaan, betapa kasih dan sayang terhadap isteri atau suami dan anak-anak tetapi selepas jasad bersemadi di dalam tanah, tiada yang lebih penting kecuali amalan soleh yang dikerjakan semasa hidupnya. Semua hanya mengharapkan rahmat Allah untuk masuk ke syurga tempat kenikmatan dan kesenangan yang abadi. Allah mengingatkan :
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ (١) حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ (٢) كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤) كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ (٥) لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧) ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)
Maksudnya :
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur”
“Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)”
“Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat)”
“(Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain daripada itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)”
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Al-Imam An Nawawi rahimuhullah menjelaskan bahawa di antara tanda-tanda haji mabrur ialah, setelah selesai mengerjakan haji dan kembali ke tempatnya, dia menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya dan tidak mengulangi perbuatan maksiat, Dalam erti kata lain, amalan akhirat bertambah baik dan perlakuan harian tidak disertakan dengan dosa.
Ditegaskan di sini, ibadat haji itu dilaksanakan dengan sempurna lengkap dengan syarat, rukun dan wajibnya, juga disertai dengan segala sunatnya. Dikerjakan dengan penuh ikhlas kerana Allah semata-mata, di samping tidak mengerjakan maksiat yang dilarang dan tidak pula meninggalkan perintah Allah seperti solat fardhu, puasa, zakat dan sebagainya.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Pada hari ini syaitan amat kecewa kerana turunnya rahmat Allah yang begitu banyak, di mana dosa-dosa akan diampunkan. Imam an Nawawi rahimuhullah di dalam syarah Muhazzab menjelaskan tentang kelebihan berzikir dan berdoa pada hari Arafah dengan menyebutkan bahawa seseorang itu hendaklah memperbanyakkan doa, tahlil, talbiah, istighfar, membaca Al-Quran dan merendah diri kepada Allah.
Oleh itu, janganlah disia-siakan kesempatan dan peluang keemasan yang terbaik ini kerana inilah waktu kemuncak ibadah dalam diari kehidupan seorang muslim. Apabila waktu ini telah berlalu pergi maka ia tidak akan kembali lagi. Peluang kedua entah akan menjelma atau tidak. Sememangnya, airmata keinsafan yang mengalir diketika ini, adalah penebus jiwa dan dosa bagi mengharap kasih dan pengampunanNya. Mengadulah, pohonlah dan munajatlah kepada Allah semahu-mahunya dan alirkanlah airmata keinsafan yang datang dari taubat yang tulus dari hati yang mahu kembali kepada fitrahnya umpama anak yang baru dilahirkan oleh ibunya. Pintalah apa sahaja kebaikan dunia akhirat, semua doa dan permintaan insyaAllah dimaqbulkan.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Apabila kita pulang ke tanah air kelak hendaklah kita mengambil pengalaman daripada haji ini iaitu semangat persaingan yang sihat dan keghairahan dalam beribadah sebagai titik perubahan bagi menamatkan saki-baki kehidupan kita dengan memelihara segala perintah Allah dalam kesatuan iman, ibadat, pergaulan, jualbeli dan bermuamalah hendaklah semuanya berlandaskan syariat Islam yang lengkap dan syumul.
Semoga kita semua dianugerahkan oleh Allah haji yang mabrur.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٣٤)وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَـٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَہُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ (١٣٥) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٌ۬ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَـٰمِلِينَ
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِوَالِدَىَّ وَلِوَالِدِيْكُمْ وَلِمَشَايِخِنَا وَلِمَشَايِخِكُمْ وَلِجَمِيْعِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Disediakan oleh:Pusat Perkhidmatan BimbinganOperasi Haji Musim 1432H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan