Ust Ali Sabri Pengarah Urusan: PUSAT PENGAJIAN KITAB TURATH (PIKATS) Kami menyediakan program pengajian kitab-kitab agama (kuning) dan baru kepada anda. Program Klinik Solat, Pengurusan Jenazah,Kursus Haji dan Umrah. Bukan itu sahaja kami juga menyediakan pakej umrah, kambing dan lembu untuk aqiqah dan qurban, boleh buat tempahan, bertempat di Batu Gajah,Perak. Untuk Keterangan lanjut sila hubungi Ustaz Ali di talian 012-5076945
Isnin, 14 November 2011
KHUTBAH PERTAMA : APA YANG TERTUNAI SESUDAH HAJI
OLEH SEIKH DR ABDUL RAHMAN SUDAIS.
إن الحمد لله، نحمده ونستعينُه ونستغفرُه ونتوبُ إليه، أحمده - سبحانه - أكمل لنا المناسك وأتمَّ، وأسبغَ على الحَجيج فضلَه المِدارارَ الأعمَّ، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له شهادةً نسمُو بها إلى أعلى القِمَم، وأشهد أن نبيَّنا وسيِّدنا محمدًا عبدُ الله ورسوله أزكى من أدَّى المناسِكَ وطافَ بالبيت العتيق وأمَّ، وأبانَ معالمَ الدين ورسَم بأبلغِ عبارةٍ وأوجزِ الكلِم، صلَّى الله عليه وعلى آله الأطهارِ صفوةِ الأُمَم، السالكين النهجَ القويمَ الأَمَم، وأصحابِه الأخيارِ أُسدِ العَرين ولُيُوثِ الأَجَم، والتابعين ومن تبِعهم بإحسانٍ ما قصدَ المسجدَ الحرام حاجٌّ والتزَم، وسلَّم تسليمًا كثيرًا إلى يوم الدين.أما بعد
Bertaqwalah kamu semua kepada Allah dengan Taqwa yang sebenar-benarnya. Sesungguhnya ia merupakan permata yang terlalu berharga dan peninggalan kesan yang terhebat kesan dari ibadah haji dan keagungan syiar-syiar yang telah kamu lakukan. Justeru, taqwa kepada Allah Ta’ala merupakan cahaya kepada segenap jiwa, sinar kepada setiap pandangan, rahsia yang tertinggi dan sebaik-sebaik penyelamat dari segala bahaya, maka bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya taqwa merupakan sebaik-baik bekalan
Kata syair :
“Seseorang itu mendambakan agar didatangi hasratnya, Allah tidak memperkenankannya kecuali sesuatu yang dikehendakiNya, Lantas beliau berkata : Antara faedah (kepentingan) dan hartaku dengan taqwa kepada Allah, maka itulah sebaik-baik perolehan buatku.”
Tetamu al-Rahman yang dirahmati Allah,
Beberapa hari yang lalu, kamu semua telah diberi nikmat dengan menyempurnkan rukun kelima dalam Rukun Islam, yang juga salah satu dari binaannya yang teragung dalam suasana ceria penuh keimanan, serta kestabilan keamanan yang tersendiri. Justeru hargailah nikmat ini yang sentiasa direbutkan peluangnya oleh sekelian umat. Maka murnikanlah kesyukuranmu kepada Allah yang telah melimpahkan ke atasmu dengan sebaik-baik pemberian dan nikmat, serta menyibukkan kamu dalam ibadat Haji ke rumahNya (Baitullah) yang telah dijadikan sebagai sesuatu yang kekal dan terbina kukuh kecintaan terhadapnya dan ketenteramannya dalam hati manusia. Di dalamnya terdapat balasan hebat yang tiada tandingannya. Disusuli pula selepas itu dengan perayaan Eid al-Adha yang meriah, dan hari-harinya yang gemilang lagi indah. Martabat yang hanya layak untuk meraikan detik itu hanyalah dengan memurnikan kesyukuran kepada yang Maha Memberi Nikmat Subhanahu Wa Ta’ala.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Ibrahim ayat 7:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan ketika kamu diberi izin mengecapi nikmat. Jika kamu bersyukur nescaya akan aku tambahkan lagi nikmatku kepadamu…”
Maka bersyukurlah kamu kepada Allah dengan kesyukuran yang sebenar. Berzikirlah mengingati Allah dengan sebenar-benar ingatan. Kamu telah berwuquf di lapangan yang terindah dalam erti memohon keampunan dan pelepasan dari segala bentuk dosa. Dalam keadaan kamu bercita-cita memperoleh pahala dan kemenangan. Kamu semua telah menempatkan diri dan jiwamu dalam siraman keampunan dan kamu melenyapkan segala noda dan kesalahan dengan untaian rahmat dan hadiah-hadiah yang mengirinya. Serta kamu bermunajat dengan berdoa dengan lisanmu yang suci, hati-hati yang khusyu’ dan jiwa yang hancur luluh, pasrah serta mata yang berbicara dengan limpahan tangisan yang mencurah-curah
Pandangan-pandangan tertumpu ke langit. Mengharapkan al-Rahman dengan nada kehinaan lantas memecah empangan tangisan yang mengalir deras umpama ombak yang menggulung dalam himpunan ketaqwaan. Tuhan Semesta Alam menyahut panggilan hambaNya ketika bertalbiah.
Detik indah di pergunungan Arafah kamu menuju kepada Allah Ta’ala dengan meninggalkan segala keburukan dan perkara yang telah lalu. Kamu telah berwuquf umpama berdirinya seorang yang fakir lagi berhajat dalam keadaan menjaga segala ketertiban dan ketulusan hati. Kamu telah menyembelih (berkorban) dengan membawa hadyu di bumi Mina, kamu melontar Jamrah kerana harapan yang terbina, kamu mengikat jiwa dan ruh di pelabuhan suci dengan melaksanakan sai’e di antara Marwah dan Safa. Di antara rukun Hajar al-Aswad dan Maqam Ibrahim mengalir keluar ungkapan-ungkapan pilu penuh keinsafan.
Di sisi rukun Hajar al-Aswad itu jugalah terhimpunnya segala kesalahan manusia lantas terlebur hancur lalu dada-dada manusia bersih dari menanggung segala dosa dalam situasi yang sama, mengharap merintih agar dimuliakan dirinya oleh Yang Maha Esa dengan pahala yang besar dan taubat yang diterima. Semuanya itu bakal terbukti dengan melakukan segala kebajikan dan ketaatan sepanjang usianya dan masa hidupnya. Hatinya sentiasa lunak dan tertarik dengan kebajikan.
Sabda Nabi s.a.w :
الحج المبرور ليس له جزاء الا الجنة
“Haji yang mabrur itu tiada ganjaran terlayak baginya kecuali syurga.”
[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah]
Tahniah kepada sekelian para pengunjung Baitullah dan bergembiralah dengan bicara hikmah dari warisan nubuwwah ini.
Allah Maha Besar! Kalimat-kalimat ini umpama permata yang terletak di hamparan sutera.
Wahai Jemaah Haji yang Dimuliakan,
Kini kamu telah berpidah ke lembaran baru dalam hidupmu, kelahiran bahagia yang diberkati, lembaran hidup yang bersinar, bersih lagi suci waktunya, sangat berharga detik-detiknya. Telah selesailah kamu melaksanakan manasik haji. Persoalannya apakah pula rencana dan perancangan selepas pulang nanti?
Tetaplah beriltizam dengan amalan-amalan soleh serta beristiqamah dengan melaksanakannya sehingga ajal tiba di penghujung usia. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hijr ayat 99 :
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
“Maka sembahlah (beribadatlah) kepada Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan (kepastian akan kematian).”
Maka persiapkankanlah bekalanmu wahai para jemaah Haji sekelian dari khazanah Hajimu dengan taubat nasuha dan keyakinan yang kukuh kepada Allah Ta’ala, beserta jiwa yang bersih, keperibadian yang mulia agar dapat memenuhi telaga dan lautan kehidupan dengan amalan-amalan soleh dan niat yang tulus murni.
Ditanya kepada al-Hasan al-Basri Rahimahullah. Apakah maksud Haji yang Mabrur itu? Lalu jawab beliau : “Kamu kembali dalam keadaan zuhud kepada dunia dan sangat mengharap akan kehidupan yang kekal di akhirat.”
Wahai Umat Islam, para jemaah Haji ke Baitullah al-Haram,
Antara intipati Haji Mabrur itu : Perubahan ke arah yang lebih baik dan mulia. Perkara ini hanya akan berlaku dengan berpegang teguh kepada tali Allah, saling berkasih sayang antara umat Islam, bermuafakat dan menjauhi segala bentuk perpecahan dan perbalahan. Sentiasa beringat dan memberi pesan kea rah kebaikan dan keutuhan akhlak, menjauhi segala bentuk kecelakaan, kemusnahan, kemunkaran dan penyakit-penyakit kemunafikan.
Bersihkanlah lidahmu dari bicara dusta, mencaci, mengumpat dan mengata serta mengadu domba. Bersihkanlah hatimu kerana itulah tempat yang dilihat dan dinilai oleh Allah Yang Empunya Kemegahan dan Kemuliaan.
Wahai para jemaah Haji ke Baitullah! Hendaklah kamu semua berada di atas manhaj Aqidah yang jelas dengan berpegang teguh dan mengagungkannya. Itulah yang dimaksudkan dengan al-Urwah al-Wusta (simpulan yang teguh dan kemas), maka jangan sekali-kali diredhai untuk dirungkai lepas simpulan tersebut dengan apa jua usaha sekalipun.
Wahai sekelian kaum Muslimin dan para jemaah Haji yang beriman!
Bersempena dengan munasabah permukiman ibadah manasik yang agung ini kita mengilhamkan dan mengambil pengajaran akan ayat-ayat (tanda) dan ibrah. Kita perlu memikirkan tentang pertukaran masa dan perubahan-perubahan yang berlaku di sekitarnya. Sesungguhnya kefardhuan Haji yang hebat ini merupakan medium bertolak ansur dan perbincangan, jaminan keselamatan dan tempat permuafakatan yang menzahirkan gambaran kesatuan umat yang bersepakat atas satu arah dan tujuan. Maka tidak wajar berlalunya musim ini atas setiap warga umat kecuali dengan mengambil pengajaran yang berharga dari perhimpunan mega tahunan ini dan menghasilkan resolusi-resolusi penting demi kemaslahatan dan masa depan ummah.
Bumi Haramain ini (semoga Allah memeliharanya) telah mengurniakan kepada alam sejagat dengan rahmat Allah akan gambaran toleransi dan sikap kerjasama serta nilai-nilai keamanan. Begitu banyak mercu tanda Islam dan kemanusiaan serta panorama kemajuan dan pembangunan yang tidak dapat dilihat dan disaksikan melainkan di bumi suci ini. Ini semua membuktikan kepada manusia sejagat bahawasanya tanpa Iman dan Aqidah serta pegangan yang jitu kepada al-Quran dan al-Sunnah maka semua ini mustahil mampu direalisasikan. Sesungguhnya anasir-anasir perpecahan dan perbalahan tidak memberi sebarang faedah kecuali kemunduran dan kebinasaan.
Sesungguhnya kami atas nama umat Islam dengan tegas menyeru dari lembah wahyu dan pusat kelahiran risalah kenabian kepada sekelian pimpinan dan rakyat jelata agar memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan maksud keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat dan menghapuskan segala bentuk pertelingkahan, kezaliman, dendam kesumat, pergeseran, pertikaian, perbuatan melampaui batas, permusuhan dan pembunuhan sesama sendiri. Ini semua hanya mampu terhasil dengan kehendak dan kuasa Allah serta kesedaran yang tinggi untuk memeilih satu jalan penyatuan dan bukannya dengan mengambil jalan yang menyimpang lagi merosakkan perpaduan.
Harus disedari bahawasanya pancaroba, cabaran dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam kehidupan umat Islam menuntut kita untuk lebih cakna akan bahaya yang akan dihadapi pada masa hadapan. Justeru kita perlu menghadapinya dengan penuh jatidiri dan integriti sebagai seorang yang beriman. Inilah zaman yang berlalu pantas dihadapan kita dan lisan-lisan yang berbicara menveritakan tentang peristiwa dan berita setiap hari dengan kisah yang berbeza. Ada kerajaan yang tumbang, negara yang musnah dan yang lainnya memperoleh kemenangan dan membangun. Begitu jugalah kita mengetahui dalam peristiwa akhir zaman yang banyak mengorbankan para pejuang, perwira, saudara mara dan kaum kerabat. Semoga Allah menempatkan mereka dalam nikmat syurgaNya dan membalas segala jasa mereka dengan ganjaran terhebat. Beginilah dunia yang beredar dan terus beredar. Padanya terdapat ibrah dan pengajaran bagi setiap yang punya akal fikiran.
Justeru wahai hamba-hamba Allah yang mulia dan para jemaah haji ke Baitullah. Marilah kita berusaha menempatkan diri dari kalangan mereka yang mengusahakan kehidupan akhirat dan berlumba-lumba mendapatkan tempat tertinggi dan termewah di syurga Allah.
Saudara-saudaraku yang beriman!
Antara bentuk-bentuk kesyukuran terhadap Yang Maha Esa ialah : Menyebut tentang nikmat Allah mengkhususkan bumi Haramain Yang Mulia (semoga Allah memeliharanya) dengan memberi khidmat kepada para jemaah Haji dengan mengharapkan ganjaran dan pahala yang berpanjangan dariNya. Khidmat yang berpanjangan ini adalah tanda kurniaan dan pertolongan Allah Ta’ala jua. Sesungguhnya khidmat dan bantuan serta pengurusan para jemaah Haji ini diletakkan sebagai prioriti dan perkara yang mempunyai keutamaan dan kepentingan yang sangat besar memandangkan besarnya amanah yang digalas di bahu para petugas dan pemberi khidmat. Antara nikmat dan kurniaan Allah serta taufiq dariNya segala tugasan dan pengoperasian ibadah Haji memperoleh kejayaan secara menyeluruh. Sekalung tahniah, penghargaan dan ucapan terima kasih serta doa berpanjangan dihulurkan kepada pihak pemerintah, para petugas yang begitu tekun dan progresif dan menjaga urusan dan kebajikan para tetamu Allah. Semoga Allah membalas segalanya dengan ganjaran yang setimpal dengan usaha dan jasa yang telah dimurnikan. Begitu juga doa buat mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam urusan para jemaah Haji. Semoga ganjaran yang serupa diterima dan diperolehi hendaknya.
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 200-202:
فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ(200) وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ(201) أُولَئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ(202)
“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitunganNya.”
بارك الله لي ولكم في الكتاب والسنة، ونفعنا وإياكم بما فيهما من الآيات والحِكمة، أقول قولي هذا، وأستغفرُ الله العظيمَ الجليلَ لي ولكم ولكافةِ المسلمين من كل خطيئةٍ وإثمٍ، فاستغفروه وتوبوا إليه، إنه كان للأوَّابين غفورًا
KHUTBAH ARAFAH
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحَمْدُ للهِ الَّذِي شَرَعَ لِعِبَادِهِ القَادِرِيْن، حَجَّ بَيْتِهِ الحَرَامِ، وَجَعَلَ الحَجَّ اَحَدَ اَرْكَانِ الإِسْلاَمِ، وَغَفَرَ لِمَنْ حَجَّهُ لَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ جَمِيْعَ الذُّنُوْبِ وَالآثاَمِ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِ لهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، المَلِكُ العَلاَّمُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ أَفْضَلُ المُرْسَلِيْن وَأَكْمَلُ اِلإمَامِ،
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ البَرَرَةِ الكِرَامِ وَهُدَاةِ الأَنَامِ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا وَفْدَ اللهِ بِالأَرْضِ المُقَدَّسَةِ، إِتَّقُوا الله َوَاعْمَلُوا الصَّالِحَاتِ وَاجْتَنِبُوا المُنْكَرَاتِ وَاذْكُرُوا اللهَ كَثِيْرًا فِي أَيَّامٍ مَعْلُوْمَاتٍ وَاشْكُرُوْهُ وَأَكْثِرُوا الَتلبية لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شَرِيْكَ لَك حَتَّى تَتَحَلَّلُوْا عَنِ اْلإِحْرَامِ,
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Bertaqwalah kepada Allah dengan melakukan amalan mulia serta menjauhkan segala kemungkaran, ingatlah Allah sebanyak-banyaknya dan perbanyakkanlah bersalawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di mana jua kita berada khususnya semasa menunaikan ibadat haji serta bersyukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaanNya,
Kehadiran kita di bumi Arafah pada hari ini adalah telah ditentukan Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang menjadi salah satu dari rukun Islam yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Basahkanlah lidah dengan menyebut sebanyak-banyaknya kalimah talbiyyah:
لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شِرِيْكَ لَك
Basahkan juga lidah-lidah kita, lembutkan hati-hati kita dengan Selawat kepada Baginda SAW, Zikrullah, Isthighfar, Berdoa, Bacaan Al-Quran serta amalan soleh yang lain, serta jauhkan diri daripada perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.
Pada hakikatnya inilah suatu permukiman kita dalam suasana perkhemahan tarbawiyyah, ruhiyyah, ilahiyyah rabbaniyah dalam menyempurnakan ibadat teragung warisan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Junjungan Mulia baginda Nabi Muhammad SAW. Ambilah kesempatan ini untuk diguna sebaik mungkin untuk menjana iman dan taqwa seterusnya beristiqamah menurut jalan petunjuk yang lurus. Insya Allah.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Sesungguhnya intipati Islam adalah pengorbanan. Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahu ‘anhum telah berjuang berhabis-habisan tanpa rasa jemu dan tanpa mengenal erti kalah dan berputus asa demi menegakkan agama suci ini dengan berbagai-bagai dugaan, kelaparan, keringat, titisan air mata dan darah.
Natijah daripada inilah, bangsa yang berpuak-puak dan bertelingkah dan sesat selama berkurun lamanya sebelum ini telah ditukar dan ditarbiyyah mengikut acuan Islam dan akhirnya menjadi umat yang satu. Cahaya hidayah islam, iman, taqwa dan limpahan rahmat telah menerangi seluruh alam sehingga hari kiamat kelak.
Ibadat haji melatih kita supaya bersatu haluan dalam meninggikan syiar Islam, berganding bahu untuk menegakkan agama Allah menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam sesama saudara Islam.
Ibadat ini membuktikan bahawa kita semua adalah serupa dan tiada bezanya. Kebersamaan ini lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa, menjadikan kita satu aqidah, satu iman, satu syariah, satu akhlak, satu qiblat dan satu tujuan.
Sabda Nabi SAW turut bersabda, mafhumnya :
“Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang satu jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain tidak tidur malam dan demam”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam mengerjakan ibadat haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai haji mabrur.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah;
"أَشْعَثَ أَغْبَرَ أَوْ شَعَثًا غَبَرًا"
Yang bermaksud : "Kusut masai dan berdebu"
Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan hidayahNya, ganjaran besar iaitu syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.
Setiap jemaah haji sama-sama mempunyai peluang yang amat luas untuk mendapatkan keredhaan, keampunan dan hadiah syurga tersebut, berusaha melepasi dan mengatasi ranjau serta rintangan yang tersedia menanti. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke arah kejahatan dan kemungkaran.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Mengimbau kembali peristiwa Wuquf di Arafah sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW pada hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun ke- 10 Hijrah. Baginda SAW juga telah membacakan Khutbah yang dikenali sebagai Khutbah Al-Wada’ di hadapan hampir 144 ribu jiwa manusia.
Antara kandungan khutbah yang merangkumi semua maksud itu jelas seperti mana yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW ialah:
1) Wahai manusia sila dengar apa yang bakal aku perkatakan ini. Aku tidak tahu adakah aku akan dapat bersamamu lagi selepas, ditempat ini dan selepas tahun ini untuk selamanya.
2) Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan dirimu telah terpelihara (diharamkan untuk sesiapa pun mengkhianatinya) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan di Bandar ini (Makkah dan sekitarnya)
3) Sesiapa yang memegang amanah maka hendaklah dikembalikan amanah tersebut kepada tuannya. Ingatlah segala amalan jahiliyyah telah berada di bawah tapak kaki (telah dihapuskan). Tuntutan hutang darah pada zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah yang pertama telahku batalkan ialah Ibn Rabi’ah bin Al- Haris yang disusukan oleh Bani Sa’ad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
4) Riba’ adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib, riba itu semunya terhapus.
5) Bertakwalah kepada Allah dalam soal wanita kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah. Mereka berkewajipan menunaikan tanggungjawab terhadap kamu dan kamu pula berkewajipan memberikan hak mereka yang berupa makan minum dan pakaian secara baik.
تًرَكتُ فِيْكُم أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُوا مَا إِن تَمَسَكْتُم بِهِمَا، كتاب اللهِ وسنتِي.
6) Aku tinggalkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu berpegang dengannya maka sesungguhnya selama-lamanya kamu tidak akan sesat, iaitu Kitab Allah dan Sunahku.
7) Hai Manusia sesungguhnya tidak ada nabi selepasku dan tidak ada umat lagi selepas kamu. Ingatlah maka sembahlah Tuhanmu, tunaikan solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadan, tunaikan zakat hartamu dengan penuh kerelaan jiwa, tunaikanlah Haji di rumah Tuhanmu dan taatilah para pemimpin yang mengendalikan urusanmu, nescaya kamu akan dapat masuk syurga Tuhanmu.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Nabi SAW telah mengakhiri khutbahnya dengan berkata :
Kemudian kamu semua bakal ditanya tentang diriku, maka apakah yang bakal kamu perkatakan? Kami menjawab : “Kami bersaksi bahawasanya tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu”
Kemudian Baginda Rasulullah SAW mengangkat tangannya ke langit seraya menurunkannya ke arah orang ramai lalu berkata sebanyak tiga kali Ya Allah! Saksikanlah, Ya Allah Saksikanlah, Ya Allah Saksikanlah.
Inilah juga pesanan terakhir baginda sebelum wafat. Selesai Rasulullah SAW menyampaikan khutbahnya, turunlah kepada Baginda ayat Al-Quran Surah Al-Maa’idah : Ayat 3
…الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينا ً…
Yang Bermaksud :
“ …pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama kamu…”
Tatkala Saidina Abu Bakar mendengar ayat tersebut itu dibaca oleh Baginda maka beliau pun menangis, lalu para Sahabat bertanya kepadanya : mengapa engkau menangis? Jawabnya : “Tidak ada selepas kesempurnaan melainkan akan datang kekurangan”
Begitulah gambaran yang jelas penghayatan dan betapa bimbang para Sahabat terhadap kesucian dan kesyumulan agama Islam dicemari. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kesempurnaan Islam itu dipelihara dengan sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat dan usaha ke arah meningkatkan taqwa kepada Allah.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Ibadat haji yang kita sedang lalui pada saat dan tika ini adalah sebagai medan untuk mengukur taqwa seseorang. Ini dapat kita rasai semenjak kita keluar dari rumah di tanah air hingga kini berada di Arafah, seterusnya ke Muzdalifah, ke Mina melontar jamrah, bercukur atau bergunting dan seterusnya Tawaf dan Saie.
Amalan haji perlu dilaksanakan dengan penuh iman dan taqwa, lakukan dengan sebaik-baiknya tanpa rungutan, tanpa banyak keluh kesah dan tidak menyakitkan serta menyusahkan orang lain. Setiap masalah perlu diatasi bersama dengan penuh hikmah dengan menolak sikap mementingkan diri sendiri.
Ketika ini, tergambar akan gambaran kehidupan di alam akhirat kelak. Walau betapa tinggi pangkat darjatnya, walau betapa banyak harta kekayaan, betapa kasih dan sayang terhadap isteri atau suami dan anak-anak tetapi selepas jasad bersemadi di dalam tanah, tiada yang lebih penting kecuali amalan soleh yang dikerjakan semasa hidupnya. Semua hanya mengharapkan rahmat Allah untuk masuk ke syurga tempat kenikmatan dan kesenangan yang abadi. Allah mengingatkan :
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ (١) حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ (٢) كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤) كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ (٥) لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧) ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)
Maksudnya :
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur”
“Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)”
“Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat)”
“(Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain daripada itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)”
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Al-Imam An Nawawi rahimuhullah menjelaskan bahawa di antara tanda-tanda haji mabrur ialah, setelah selesai mengerjakan haji dan kembali ke tempatnya, dia menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya dan tidak mengulangi perbuatan maksiat, Dalam erti kata lain, amalan akhirat bertambah baik dan perlakuan harian tidak disertakan dengan dosa.
Ditegaskan di sini, ibadat haji itu dilaksanakan dengan sempurna lengkap dengan syarat, rukun dan wajibnya, juga disertai dengan segala sunatnya. Dikerjakan dengan penuh ikhlas kerana Allah semata-mata, di samping tidak mengerjakan maksiat yang dilarang dan tidak pula meninggalkan perintah Allah seperti solat fardhu, puasa, zakat dan sebagainya.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Pada hari ini syaitan amat kecewa kerana turunnya rahmat Allah yang begitu banyak, di mana dosa-dosa akan diampunkan. Imam an Nawawi rahimuhullah di dalam syarah Muhazzab menjelaskan tentang kelebihan berzikir dan berdoa pada hari Arafah dengan menyebutkan bahawa seseorang itu hendaklah memperbanyakkan doa, tahlil, talbiah, istighfar, membaca Al-Quran dan merendah diri kepada Allah.
Oleh itu, janganlah disia-siakan kesempatan dan peluang keemasan yang terbaik ini kerana inilah waktu kemuncak ibadah dalam diari kehidupan seorang muslim. Apabila waktu ini telah berlalu pergi maka ia tidak akan kembali lagi. Peluang kedua entah akan menjelma atau tidak. Sememangnya, airmata keinsafan yang mengalir diketika ini, adalah penebus jiwa dan dosa bagi mengharap kasih dan pengampunanNya. Mengadulah, pohonlah dan munajatlah kepada Allah semahu-mahunya dan alirkanlah airmata keinsafan yang datang dari taubat yang tulus dari hati yang mahu kembali kepada fitrahnya umpama anak yang baru dilahirkan oleh ibunya. Pintalah apa sahaja kebaikan dunia akhirat, semua doa dan permintaan insyaAllah dimaqbulkan.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Apabila kita pulang ke tanah air kelak hendaklah kita mengambil pengalaman daripada haji ini iaitu semangat persaingan yang sihat dan keghairahan dalam beribadah sebagai titik perubahan bagi menamatkan saki-baki kehidupan kita dengan memelihara segala perintah Allah dalam kesatuan iman, ibadat, pergaulan, jualbeli dan bermuamalah hendaklah semuanya berlandaskan syariat Islam yang lengkap dan syumul.
Semoga kita semua dianugerahkan oleh Allah haji yang mabrur.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٣٤)وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَـٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَہُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ (١٣٥) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٌ۬ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَـٰمِلِينَ
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِوَالِدَىَّ وَلِوَالِدِيْكُمْ وَلِمَشَايِخِنَا وَلِمَشَايِخِكُمْ وَلِجَمِيْعِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Disediakan oleh:Pusat Perkhidmatan BimbinganOperasi Haji Musim 1432H
Langgan:
Catatan (Atom)